Hidup Beri Manfaat

Friday, March 15, 2013

Refleksi Musim Sejuk

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupakan bumi sesudah mati (kering) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; Sungguh (terdapat) tanda-tanda (KeEsaan dan Kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan." (Surah Al-Baqarah: 164)


Alhamdulillah atas kurniaan-Nya, perjalanan melalui musim salji kali keempat di bumi Kanada. Peredaran waktu pantas berlalu. Antara yang paling saya sukai ialah ketika mana sedang titis salji turun menyembah bumi. Titis demi titis jatuh, kemudian ianya menebal, membentuk ketulan dan bongkah ais. SubhanAllah. Maha Suci Allah. Hamparan jalanraya yang kelabu, rumput yang hijau, tanah yang hitam, semuanya bertukar putih. Langit yang gelap pada waktu malam sedikit demi sedikit cerah, seakan cahaya menerangi. 

Fitrah kita pada asal kelahiran kita, yang asalya seperti kain putih, suci, dari sebarang dosa. Kemudian kita membesar, terdedah kepada pancaroba dunia yang menghendaki kita bijak untuk memilih tindakan kita, sama ada menjurus kepada ladang amal (pahala) atau sebaliknya. Seorang hamba yang beriman dan bertaqwa lantas tindakan yang dipilih kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, yang menambah aset amal pahala, bertambah dekat dirinya kepada Allah. Bersama ihsan dalam setiap pergerakan dan amalannya di dunia. Moga kita terus dipimpin meraih Redha Allah.

Membuat Persiapan Awal dan Setiap Waktu

3 bulan melalui musim salji, dalam pada itu perubahan suhu dan cuaca menghendaki diri membuat persiapan setiap waktu. Ketika mula-mula sampai dahulu orang-orang Kanada memberitahu antara perkara yang mereka ambil kisah adalah 'suhu'. Tertanya-tanya sendirian kenapa mereka terlalu ambil kisah berkenaan suhu ini, bilamana sudah beberapa bulan bermastautin di sini barulah saya mengerti. Jika di Malaysia, jarang mengambil tahun berkenaan dengan dengan suhu di Malaysia yang puratanya dalam lingkuangan 27-31 darjah celcius (siang hari). Cuaca yang sukar untuk dijangka di sini, perlunya untuk melihat suhu  diluar sebelum keluar rumah khususnya bagi musim sejuk. Alhamdulillah, dengan kecanggihan teknologi seperti iphone, android dan sebagainya yang rata-rata sudah dimuat turun perisian suhu (Weather Temperature) memudahkan untuk digunakan berbanding mungkin orang zaman dahulu yang bergantung kepada thermometer manual. Persediaan pakaian disiapkan sebelum melangkah keluar rumah. Berhadapan dengan suhu di bawah takat beku yang boleh mencecah sehingga -28 darjah celcius, tanpa persediaan atau mengambil enteng perihal suhu kadangkala boleh mendatangkan kemudaratan kepada fizikal. Pakaian setebalnya dipakai dan rapi menutupi seluruh tubuh badan, antara hikmah yang dapat dilihat. 

Perubahan Waktu dan Hikmah 

Peredaran waktu berubah, siang yang pendek dan malam bertambah panjang. Jika diamati, antara hikmahnya waktu siang yang pendek, malam yang panjang dan suasana sejuk ialah peluang untuk berpuasa pada siangnya dan waktu malam yang boleh digunakan untuk qiammulail, meraih cinta 1/3 malam khusus buat pencipta Rabbul Jalil. Ukuran waktu malam yang melebihi 12 jam boleh dibahagi untuk mengulangkaji, berehat awal dan kemudiannya qiammulail lebih panjang.
Menurut Ibnu Mas'ud, malam yang begitu panjang untuk solat malam dan siang yang begitu singkat untuk berpuasa merupakan barakah saat musim dingin. 

Awal-awal ketika musim sejuk, ketika masih belum menyesuaikan diri melalui waktu malam yang panjang, jam berulang kali dilihat lantas berbisik, "Baru jam 8 malam tapi rasa sudah seperti 11 malam". Bila hari sudah gelap, ruang aktiviti banyaknya difokuskan di dalam ruang rumah dan kalau tidak diurus sebaiknya malam yang panjang akan menjadi pendek disebabkan tidur panjang ataupun aktiviti yang tidak produktif. Justeru, pengurusan waktu dan pemilihan aktiviti yang bermanfaat menjadikan waktu diisi sebaiknya dan memaksimumkan anugerah musim sejuk. 

Kesyukuran Atas Segala Nikmat yang Dikurniakan, Belajar Sabar

Apabila merasai kesejukan yang terlampau sejuk,betapa berasa bersyukurnya dengan nikmat panas yang dirasai sebelum ini. Jika di Malaysia, panas yang lembap sepanjang tahun kadang-kala mengeluh dengan panas di Malaysia. Maha Suci Allah. Betapa bila melalui musim salji, sejuk yang kadangkala menggigit dan menusuk ke tulang, saat itulah melihat betapa besarnya nilai panas di Malaysia. Alhamdulillah.

Belajar bersabar ketika saat-saat yang memerlukan mujahadah yang tinggi, bangun dan bergerak mengharungi perjalanan meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Kedinginan air lebih-lebih lagi ketika waktu pagi, perkataan 'sejuknya..' yang diungkap mengingatkan diri agar jangan mengeluh, belajar bersabar dan bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan. Betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya. Nikmat yang tidak terhitung banyaknya! Syukran Ya Allah.

"Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurukan hujan dari langit, lalu dialirkan-Nya menjadi mata air-mata air di bumi, kemudian  Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya, kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu). Selepas itu engkau melihatnya berupa kening, kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi  peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna." (Surah Az-Zumar: 21)

Musim bunga bakal bertandang beberapa hari lagi, ketulan ais sudah mulai cair. Hujan menandakan perubahan musim, pokok-pokok akan mulai berbunga. Putih-putih ais sudah surut kelihatan, pejalan kaki dan jalan-jalan raya sudah mahu kembali kepada warna asalnya. Aku pasti merindui saat-saat titisan putih turun! Ya Allah, sampaikan aku lagi di bumi 4 musim untuk melihat kebesaran-Mu disaat-saat titisan salju itu memuji-Mu...

SubhanAllahil Azim...

SubhanAllah wa Bihamdih...





Nuur Halimatus Saadiah Masrukhin
Peterborough
3 Jamadil Awwal 1434H

0 comments:

Popular Posts

Seorang hamba yang masih meniti perjalanan duniawi dalam perjalanan mencari mardahatillah, kerana ganjaran di sana nanti terlalu berharga dan tiada tandingannya,justeru kehidupan yang berliku mengajar erti kesabaran, pengorbanan dan penyerahahan kepada Allah. Di sana nanti menanti Syurga Idaman dambaan setiap insan yang sentiasa mengharap Keredhaan Allah. Aspirasi Perjuangan Menyusuri Kehidupan. "Ya Allah, bantu hambu ini Ya Allah, jadikan aku kuat dalam perjalanan ini semoga aku sampai ke destinasi dengan keadaan Engkau Redha akan diriku.."

Keep in Touch with Us on Facebook