Hidup Beri Manfaat

Tuesday, January 24, 2012

Diari Perjalanan: Indahnya Kebersamaan; Reviving the Islamic Spirit 2011

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Penyayang 

Assalamualaykum Warahmatullahi Wabarakatuh 

Alhamdulillah, Syukur dipanjatkan ke hadrat Allah atas nikmat Iman dan Islam serta segala nikmat anugerah pemberian-Nya kepada kita selaku hamba-Nya. Syukran Ya Allah. Seawal pagi kita bangun, nikmat usia dan kesihatan yang dianugerahkan kepada kita menjadi penguat untuk terus berjalan di muka bumi Allah ini, moga kita menjadi golongan hamba yang sentiasa bersyukur kepadaNya dan terus dekat dengan-Nya.

Firman Allah yang bermaksud : "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." ( Surah Ibrahim 14: 7)
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan dalam tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) besyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman 31: 14)

Ada cerita perjalanan winter break yang mahu dikongsi, namun berulang kali button entry post ditekan, begitu juga button save. Allah, sememangnya untuk menulis dan menaip bagi diriku, sememangnya memerlukan masa yang benar-benar sesuai agar bisa melakukan penulisan sebaiknya, Insya-Allah.

Memasuki bulan Disember, sudah tentu saat akhir menjelang persiapan final exam dan ada beberapa assignment serta tugas perlu diselesaikan, alhamdulillah, Syukur! Final Exam semester 5 secara rasminya tamat pada 21hb Disember iaitu kertas Econometrics, dan berakhirnya kertas terakhir jam 9 malam secara rasminya semester 5 selesai, berbaki 3 semester, Insya-Allah. Alhamdulillah. Ya Allah, permudahkan urusan kami Ya Rabb sampai ke akhirnya.


Reviving the Islamic Spirit 2011

Langkah terus diatur, ada beberapa program diisi sepanjang cuti winter yang lepas. Yang pertamanya, usai kertas 21hb Disember, tak sabarnya menanti 'Reviving the Islamic Spirit 2011 Conference' yang diadakan tiga hari selepas periksa tamat, 23hb-25hb Disember 2011 bertempat di Metro Toronto Convention Centre, Toronto. Kebetulan sahabat di Malaysia juga mengikuti majlis ilmu 'Twins of Faith' pada 24hb-25hb Disember 2011 yang pertama kali dibuat Malaysia dan Insya-Allah menjadi satu majlis ilmu tahunan untuk sama-sama warga Malaysia membawa keluarga memenuhi ruang masa dengan cinta kepada ilmu. Berbalik kepada RIS, saban tahun RIS conference diadakan  di sini dan Alhamdulillah, tahun ini sudah tahun ke-10 RIS bertapak di bumi Kanada, Amerika Utara ini dan pengalaman saya tahun ini merupakan tahun ke-3 dapat mengikutinya secara langsung, Alhamdulillah.

Kalau dilihat secara dekatnya, Allahu Akbar. Pengalaman duduk dalam conference kali ketiga tahun ini terkesan dalam diri, spirit yang ada benar-benar memberikan impact yang saya rasa turut dirasai oleh para ribuan hadirin yang hadir. Peluang menuntut ilmu daripada ulama' dan mashaykh terbilang merupakan satu peluang yang semestinya direbut dan dikutip sebaiknya. Moga nantinya ia seiring dengan amal dan menjadi bekalan serta bermanfaat pada diri, keluarga dan masyakarakat umumnya, Insya-Allah.


Manisnya Persaudaraan Islam, Indahnya Kebersamaan 

Persaudaraan Islam yang dilihat di sini, membuatkan saya kagum dan sedar indahnya persaudaraan dalam Islam dan pengkayaan budaya menuntut Ilmu dalam masyarakat. Kalau di Malaysia, majlis-majlis ilmu dan perjumpaan dengan saudara seIslam merupakan rutin dan kebiasaan seharian, tetapi di sini inilah Program tahunan yang terbesar di Amerika Utara yang mempertemukan Ummat Islam di Kanada, United States, dan juga sebahagian yang datang dari negara-negara lain. Meskipun majoriti peserta dalam kalangan Ummat Islam, ada sebahagian peserta juga yang merupakan non-muslim. Tahun ini dimaklumkan kehadiran peserta lebih kurang dalam 20,000 orang. Allahu Akbar! bergetar saya mendengar kapasiti peserta yang hadir dan dimaklumkan tiket RIS tahun ini 'sold out' buat pertama kalinya dalam tempoh sepuluh tahun sejak kelahirannya.

Tahun pertama bagi saya mengikutinya ialah pada 2009 iaitu tiga bulan selepas saya sampai ke bumi Kanada pada tahun pertama, peserta pada ketika itu dianggarkan dalam 12,000 orang dan tahun lepas lebih kurang 15,000 orang. Peningkatan saban tahun, menyaksikan perkembangan Islam di bumi Amerika dan semoga Allah terus membimbing kita serta Islam akan menguasai dunia semula pada satu nanti, meliputi setiap ceruk muka bumi, biiznillah Insya-Allah. 

Teringat satu khutbah jumaat tahun lepas di Toronto, khatib mengingatkan para jemaah masyarakt Islam kini kurang dari dua aspek ini pertamanya Taqwa-hubungan dengan Allah dan keduanya persaudaaran-hubungan dengan sesama Manusia. Muhasabah buat diri dan peringatan untuk diriku, sudahkah diri ini menjaga sebaiknya dua aspek ini Hablu minallah wa Hablu minnas.

Pelbagai lapisan dari sekecil baby sehinggalah warga emas kelihatan memenuhi ruang dewan, sesekali larian anak-anak kecil mencuri pandangan.Telatah anak kecil yang pelbagai, namun ibu bapa tetap juga ingin membawa mereka bersama. Allah, beruntungnya anak-anak ini memiliki ibu ayah yang sama-sama membawa anak mereka menghadiri majlis ilmu begini, semoga besarnya nanti terus anak-anak ini menjadi mujahid dan mujahidah yang menyumbang buat keluarga, negara, ummah dan agama. 

Dari pelbagai sudut, saya melihat meskipun di sini komuniti Muslim adalah minoriti dalam masyarakat Kanada, namun saya rasakan ada kekuatan luar biasa tersendiri yang memberikan inspirasi kepada komuniti Islam untuk terus kuat dan mengamalkan cara hidup Islam, Islam is the way of life. Sukar untuk didefinisikan secara objektif, tetapi pengalaman selamat dua tahun setengah di sini melihat dan tinggal dalam minoriti merupakan satu anugerah Allah yang sangat bernilai buat diri, tarbiyah untuk lebih mengenali Allah, Rabb sekalian alam dan juga Islam, agama haq. Syukran Ya Allah.

Di Toronto, mudah untuk berjumpa orang Muslim, berbeza dengan tempat tinggal di sini iaitu Peterborough jarang dapat bertemu dengan Muslim, di universiti sesekali-sekala terserempak dengan saudara Islam. 'Assalamualaikum' akan terucap dan senyuman terukir setiap kali bertemu dengan Muslim, Allah..satu nikmat persaudaraan yang sangat hebat! Inilah antara kekuatan minoriti, dalam jumlah yang kecil ini kami seperti saudara rapat yang sudah lama mengenali meskipun baru pertama kali bertemu, amalan memberikan Salam sesama Muslim menambahkan lagi sillaturrahim dan merapatkan ukhuwwah. Ayuh, kita mulakan amalan memberi ucapan salam kepada saudara seIslam kita apabila bertemu tidak kira di mana sahaja, moga ukhuwwah bertambah erat dan mengasihi mereka kita kerana Allah.

Sabda Rasulullah S.A.W  yang bermaksud: "Demi diriku ditanganNya, kami tidak (boleh) masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu (belum) beriman sehingga kamu saling mengasihi (sesama kamu). (Inginkah kamu) aku tunjukka suatu (cara) yang jika kamu melakukannya maka akan terjalinlah kasih sayang? Iaitu : Ucapan Salam sesama kamu." (Hadis Riwayat Muslim) 

Indahnya kebersamaan satu Aqidah. :)


Menyemai semangat Sukarelawan  dan Bekerja Dalam Kalangan Anak Muda

Terimbau kenangan 2009, ketika itu Alhamdulillah berpeluang menjadi volunteer RIS ketika itu. Dalam melakar satu perjalanan program yang besar seperti sememangnya memerlukan perancangan yang rapi, pemuda pemudi yang kuat dan mampu menggalas tanggungjawab sebaiknya. Semestinya ia bukan sebab 'money return' atau balasan dari segi meterial. Tetapi ianya menyumbang dalam pembentukan dalaman, menyemai suka bekerja secara sukarelawan dan mampu melahirkan individu yang bersifat ikhlas dalam melaksanakan sesuatu tugas kerana Allah, Insya-Allah. Paling utama mahu gapai Redha Allah. Dan pengalaman yang dikutip merupakan satu hadiah yang amat berharga yang tidak dapat dibayar dengan duit walau nilai setinggi manapun. 

Reviving the Islamic Spirit menyaksikan bahawa anak muda mampu dengan tenaga group dan kerjasama yang mantap dari setiap sukarelawan. Saya menyedari beberapa wajah-wajah anak muda yang terlibat dengan menjadi sukarelawan RIS pada tahun 2009 kembali menjadi sukarelawan pada tahun 2010 dan 2011 untuk terus berbakti menyumbang kepada ummah!

Teringat kisah-kisah para sahabat  dan tokoh-tokoh terbilang Islam seperti Saidina Ali, Zaid Ibn Harithah, Salman Al-Farisi, Mu'sab Bin Umair, Hamzah Bin Abdul Mutalib, Abu Dujanah, Abdullah Ibnu Umar, Abdullah Bin Mas'ud, Abdullah Bin Amru bin Al 'Asr, Salahuddin Al-Ayubi, Sultan Muhammad Al-Fateh  dan lain-lain lagi yang berjaya menggoncang dunia pada usia muda dan remaja. Allahu Akbar. Kematangan dan tindakan  tokoh-tokoh ini menjangkau usia, meskipun pada usia muda, impian dan cita-cita mereka amat besar dalam menyumbang ke arah ummah dan Islam. Semoga remaja pada masa kini juga mampu mencontohi tokoh-tokoh Islam ini, biiznillah.


Kenali dan Dekati Ulama', Cintai Ilmu

Alhamdulillah, peluang mengikuti majlis ilmu sememangnya satu nikmat. Mengenali dan mendekati ulama' serta masyaikh merupakan satu anugerah dan rezeki lebih-lebih lagi apabila berpeluang menuntut ilmu daripada ulama', mashaykh, murabbi, mualim hebat. Subhanallah. Tahun ini, RIS 2011 tidak ketinggalan membawa ulama', mashaykh, murabbi dan mualim hebat dari seluruh dunia menjadi speakers membentangkan pengisian ilmu yang bermanfaat dalam pelbagai topik seperti Habib Ali Al-Jifri, Zaid Shakir, Shyakh Hamza Yusuf, Dr. Abdal Hakim Jackson, Shaykh Abdallah Idris Ali, Yusuf Islam, Dr. Seyyed Hossein Nasr, Shaykh Sulaiman Mulla, Dr. Umar F. Abd-Allah, Dr. Yasir Fazaga, Dr. Jamal Badawi, Prof. Tariq Ramadan, Dr. Tawfique Chowdury, dan Ambassador Shabaz. Tahun ini juga Shaykh Mishari AlAfasy bersama-sama membuat persembahan di RIS 2011. Allahu Akbar. Semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa dianugerahkan kemanisan dalam menuntut ilmu, dan diberikan kefahaman dalam agama serta beramal dengan ilmu.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Mulakan pagimu sebagai seorang Guru, atau Pelajar, atau Pendengar, atau Orang yang cinta akan ilmu, jangan jadi orang yang kelima, necaya kamu akan binasa." (Riwayat At-Tabrani)

 ~ Reviving the Islamic Spirit 2011 ~ 

Habib Ali Al-Jifri dan  Shaykh Yahya Rhodus

Shaykh Sulaiman Mulla

Dr. Umar F Abd-Allah

Dr. Abdal Hakim Jackson

Shaykh Tawfique Chowdhury

Shyakh Hamza Yusuf

Professor Tariq Ramadan

Yusuf Islam

Imam Zaid Shakir

Dr. Jamal Badawi

Shaykh Abdalla Idris Ali

Shaykh Mishary Al- Afasy

Wahdatul Ummah

Di mana pun kita berkiblatkan kiblat yang sama

'Sold Out'


Link Perkongsian ilmu semasa RIS 2011 oleh Habib Ali Al-Jifri :

[click link di bawah]

Paradise is Ours Unless We Refuse 
Beyond Control and Chaos

Doa Rasulullah S.A.W:
"Wahai Tuhanku, aku bcrmohon kepada-Mu agar Kau kurniakan kepadaku ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima. Wahai Tuhanku, aku bermohon kepada-Mu agar Kau hindari dariku ilmu yang tidak bermanfaat, had yang tidak khusyuk, jiwa yang tidak tenteram dan doa yang tidak diterima."
(Riwayat Muslim)


Wallahu A'lam, Semoga bermanfaat.

Jazakumullahu khayran Jaza'

Salam sayang. :)
Nuur Halimatus Saadiah

Peterborough


2 comments:

FasiHaH SupiaN said...

Subhanallah....

Syaheedatul Humaira said...

Maha Suci Allah, Allahu Akbar..

Semoga kita sama-sama terus kuat dalam perjalanan mencari RedhaNya..

Selamat berjuang juga teman! :)

Popular Posts

Seorang hamba yang masih meniti perjalanan duniawi dalam perjalanan mencari mardahatillah, kerana ganjaran di sana nanti terlalu berharga dan tiada tandingannya,justeru kehidupan yang berliku mengajar erti kesabaran, pengorbanan dan penyerahahan kepada Allah. Di sana nanti menanti Syurga Idaman dambaan setiap insan yang sentiasa mengharap Keredhaan Allah. Aspirasi Perjuangan Menyusuri Kehidupan. "Ya Allah, bantu hambu ini Ya Allah, jadikan aku kuat dalam perjalanan ini semoga aku sampai ke destinasi dengan keadaan Engkau Redha akan diriku.."

Keep in Touch with Us on Facebook